Percayakah anda terhadap naluri ibu? Sukar diterima dek akal bahawa ibu dapat mengetahui apa yang berlaku kepada anaknya walau jarak yang berbatu2. Setakat ini tiada jawapan saintifik yang dapat membuktikan perkara ini. Namun selalu terjadi semasa keluar berdating, ponteng kuliah, tidak membaca Al-Quran, merokok dan sebagainya; ibu aku akan menelefonku. Aku tak tahu kuasa apa yang memberi visi kepadanya. Kata ibu. “Kalau mama tak sedap hati dengan tiba2, mesti Syaffiq buat sesuatu tak elok tanpa pengetahuan mama.”
12 Ogos 1994. 8:07 am.
Hari ini seperti semalam dan hari2 sebelumnya. Rutin seorang ibu dan suri rumah tangga sepenuh masa. Mengemas bilik tidur, membasuh pakaian, menyapu lantai dan sekali sekala menonton Malaysia Hari Ini yang dikendalikan oleh Aziz Desa. Suami pula sedang bekerja di Jabatan Telefon (kini dikenali sbg Telekom Malaysia) Johor Bahru.
Dua lagi cahaya mata masih tidur dengan nyenyak. Sambil mengusap kandungan yang berumur enam bulan, menungnya jauh memikirkan entah apa yang dipelajari oleh anak sulungnya ditadika sekarang. Semalam beriya2 suruh beli pensil warna baru.
Tiba2 dia berasa tidak selesa. Jantungnya berdetak laju. Persekitaran maha sepi mengiringi. Tak pernah dialami situasi aneh seperti ini. Cuba digagahkan kudrat untuk meneruskan kerja2 rumah. Perasaan sahaja barangkali. Dia cuba menyedapkan hati. Sejurus itu telefon berdering...
Di perkarangan tadika, riang meriah tadi bertukar suram. Semua tergamam melihat keadaan yang menimpa aku. Bucu buaian besi tepat2 mengenai sendi dikepala lutut kiri. Tak cukup lagi, buaian terus berhayun dan seterusnya menghentak paha aku.
Aku pejam mata sekuat hati. Ngilu terasa tulang kaki kiri dan mengalir ke seluruh tubuh. Aku mengerang menahan kesakitan dan cuba menarik nafas dalam2. Sakit sehingga aku tak mampu menangis, tak mampu menjerit. Apa yang sedang terngiang2 difikiran adalah pesanan ibu yang tak sampai setengah jam tadi.
Ketika itulah cikgu baru muncul dan dalam keadaan terpinga2 mengangkat aku untuk dibawa masuk ke dalam kelas. Pelajar2 lain mengerumuni aku dengan wajah yang masih terkejut. Kemalangan yang berlaku secara langsung di hadapan mata mereka tadi masih bermain dibayangan. Kecoh seketika tatkala pelajar2 sibuk ingin bercerita apa yang mereka saksikan tadi kepada cikgu.
Sedikit demi sedikit kesakitan kian hilang. Perlahan cikgu melurut seluar aku untuk melihat kecederaan. Aku pasrah.
Ya Allah! Paha kiri bengkak sebesar genggam tangan lelaki dewasa. Lebam berwarna merah kehijauan dengan urat2 yang timbul seperti berselirat. Namun, aku tak merasai sebarang kesakitan langsung pada waktu ini. Tambahan pula kaki kiri tidak boleh digerakkan. Aku pucat tapi sekadar mendiamkan diri. Cikgu pantas menghubungi rumah aku.
~~~
5:35pm
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Kali pertama berada di dalam katil wad hospital. Bukan sebagai pelawat, tetapi sebagai pesakit. Suasana tidak seperti yang dibayangkan selama ini. Kelam, sunyi, dan membosankan. Kaki kiri tergantung di pagar katil, dibalut dengan kemas. Aku tak boleh mengengsot ke kiri kanan. Hanya mampu terbaring menghadap siling, sesekali melihat ke arah kanan katil.
Menurut ibu, tulang paha kiri retak dan perlu berada di dalam keadaan statik buat masa yang panjang. Ligamen pada lutut pula cedera kerana tempurung lutut tertolak ke atas. Oleh itu kaki terpaksa digantung sebegitu untuk beberapa minggu sehingga betul2 stabil.
Ayah sedang menunaikan solat Asar di surau hospital. Ibu pula duduk disisiku sambil membelai ubun2 rambutku. Jelas keletihan yang terpamer diwajahnya. Kandungan enam bulan dalam perut perlu diambil berat, kini anak sulung pula yang ditahan di hospital. Dia hanya tersenyum, mulut terkumat kamit membaca doa.
“Ma, Abang boleh berjalan tak lepas keluar hospital?” Tanya aku untuk kepastian.
“Boleh, jangan bimbang... Rehat kejap di hospital. Keluar nanti abang boleh berlari, melompat.” Jawab ibu dengan muka kemerah-merahan.
Aku yang masih kecil sewaktu itu tidak dapat memahami erti reaksi begitu. Naif. Aku hanya senyap dan merenung wajahnya. Banyak perkara yang aku fikirkan. Agak selesa kerana ibu tidak henti mengusap kepalaku sejak tadi. Entah mengapa mulut ibu seperti bergetar. Kulihat matanya bergenang dan kemudiannya berkelip. Tiba2 beberapa titis air mata jatuh berderai...
Hari ini mungkin seperti semalam dan hari2 sebelumnya. Tapi tidak lagi untuk esok.
p/s
- Sambil layan lagu Pelangi Petang - Sudirman
- Tahniah crescent kerana tekaan anda agak hampir2 tepat kot.
- Tamat suda chapter ini. Kalu ada permintaan aku try sambung lagi
0 comments:
Post a Comment
Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y