Tuesday

Kemusnahan Hidup, Kejatuhan Total

0

Pada mulanya aku ragu2 adakah entri ini relevan untuk disiarkan kepada umum. Seolah2 membuka pekung di dada. Mempertonton episod gelap peribadi. Walau sudah lama berlalu, aku tetap rasa bersalah dengan diri ini. Ibu bapa. Teman2. Masyarakat. Semuanya saling berkaitan. Tak ubah seperti reaksi ledakan nuklear. partikel nuklear bertembung, berlaku pecahan atom berangkai yang tidak putus2 dan menyebabkan letupan besar. Hasilnya sebuah dunia yang beradiasi. Dunia yang aku sedang bertapak hari ini. Aku cuba menguatkan semangat. Sindrom krisis identiti berhadapan antara ketakutan dengan kebenaran. Mungkin aku terpaksa luahkannya.

Izinkan aku memulakan kisah alam persekolahan yang dipenuhi seribu satu sketsa.
Tingkatan rendah aku hanyalah di sebuah sekolah harian belakang rumah. Aku seorang yang amat pasif. Pendiam, tidak pandai bersosial, tidak bersukan, dan sifat rendah diri yang menebal. Kenalan rapat aku boleh dihitung dengan jari. Aku paling benci sesi pembentangan. Berpeluh2, tergagap2, berdebar2 sehingga tiada seorang pun faham apa yang aku katakan. Merentas desa? Sudah tentu tempat paling belakang, ketika orang sudah lama berkumpul. Aktiviti ko-kurikulum hampeh. Kosong, sekadar sijil ahli sahaja. Hidup aku belajar, menonton televisyen, dan bermain komputer. Aku keluar rumah untuk ke sekolah sahaja. Skema gila.

Setelah PMR 2003. Aku mendapat tawaran sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu. Tingkatan 4 sarat dengan cabaran. Sifat pasif aku masih wujud. Sering dijadikan bahan jenaka. Dibuli. Aku tahu tiada cara lain untuk menepis semua ini. Aku sendiri yang perlu berubah. Aku melibatkan diri dalam aktiviti sekolah. Keyakinan diri semakin kuat. Aku sudah tidak kekok memulakan perbualan. Malah aku aktif dalam sesi berdebat di dalam kelas. Aku cuba menyertai pertandingan debat Inggeris ala parlimen untuk mewakili sekolah. Walaupun kalah dan sekadar di tempat kedua, namun banyak pengalaman yang telah aku terokai.

Tingkatan 5 adalah syurga bagi semua pelajar. Tiada siapa dapat menafikan keindahan sebagai senior. Aktif dengan pelbagai aktiviti sekolah sama. Mula bergiat aktif dengan sukan. Namun, perubahan aku tidak berhenti di situ. Aku berjinak2 dengan aktiviti kurang sihat. Merokok, fly, ponteng prep, pecah masuk bilik warden, dan sebagainya. Sufi di sekolah, hantu di asrama. Pernah dirotan dan ditampar setelah kantoi oleh cikgu. Apakan daya. Hidup perlu diteruskan.

Setelah SPM 2005. Aku berjaya mendapat tempat di Matrikulasi Pulau Pinang. Tidak cukup dengan itu, aku ditawarkan biasiswa Petronas untuk program ijazah Kejuruteraan Awam, UTP. Pada masa yang sama, TM pula menawarkan biasiswa untuk program ijazah Kejuruteraan Bio Medic, MMU. Aku tanpa berfikir panjang memilih UTP. Ibu juga bimbang andai aku tersilap langkah. Tetapi ketika itu, dunia seolah di dalam tangan. Aku berasa bangga dan riak. Jauh di sudut hati aku sendiri tidak pasti adakah keputusan ini betul.

Lewat tahun 2006. Awal2 pengajian di sana tiada masalah. Tetapi perlahan2 pencapaian kian merosot. Subjek kejuruteraan awam diluar minat aku. Batu2, construction, dinamic dsb. Aku jadi semakin malas untuk belajar. Ponteng kuliah, main game, lepak di mapley tiap2 malam, main snooker dari tengah malam sampai subuh, rokok sekotak sehari, dan sebagainya. Aku dulu yang anti sosial kini menjadi mangsa sosial. Kadangkala aku cuba gagahkan diri, paksa untuk berubah. Tetapi sukar kerana segalanya telah terlambat. Kemudian biasiswa aku ditarik. Aku buntu. Bagaimana untuk membiayai pengajian?

Selamat tinggal UTP. Akhirnya aku mengisi borang keluar. Aku dinasihati oleh pegawai pendaftaran supaya menghubungi pihak UiTM sekiranya mahu menyambung pengajian lagi. Hutang dengan Petronas entah berapa puluh ribu. Nasib baik mereka memahami kedudukan kewangan keluarga aku dan memberi aku kelonggaran. Terima kasih Petronas. Pulang ke rumah, aku pasrah apabila berhadapan dengan keluarga. Sekali lagi aku mengecewakan ibu aku. Aku malu. Tidak sanggup memandang wajah mereka. Hingga sekarang aku tidak putus2 menangisi kesilapan. Aku betul2 bertaubat dan menyesal.

Pertengahan 2009. Demi hasrat mahu menebus kesilapan. Aku ke UiTM Shah Alam berjumpa dengan pegawai atasan. Aku menceritakan semua masalah dan memohon untuk belajar di UiTM. Aku juga menyatakan bahawa minat aku lebih ke arah perniagaan. Setelah diteliti sijil2, dia menyuruh aku menunggu keputusan mesyuarat dahulu. Alhamdulillah. Beberapa minggu kemudian aku dihubungi pihak UiTM bahawa aku ditawarkan program Fast Track Accountancy. Tarikh pendaftaran pada 27 Jun 2009 di UiTM Shah Alam kampus Puncak Perdana. Aku amat bersyukur kerana diberi peluang kedua. Ini masa untuk aku memperbetul keadaan demi keluarga tersayang.

Semoga apa yang aku coret di atas dapat dijadikan pengajaran dan iktibar. Apa rasionalnya aku menghebahkan kisah gelap yang memalukan ini. Entah. Mungkin aku seorang realist. Inginkah sesiapa mengulangi kesilapan aku?

0 comments:

Post a Comment

Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y