Thursday

Cerita bosan lagi

0

Siapa cakap gig hanya untuk band indie, metal, skin sahaja? kita tunggu dan lihat


Sedar tak sedar dah hampir enam bulan umur blog aku ini. Kalau manusia umur ni tengah hangat menyusu, kalau kucing mesti sudah berkebolehan mengawan. Namun bagi blog ia mempunyai pola yang berlainan. Ada yang naik dengan cepat, ada yang berkondisi pecutan negatif, ada yang hambar, dan sebagainya. Ini bergantung kepada kemampuan blogger itu sendiri untuk mencorak signifikasi blog mereka.

Aku malas digelar blogger kerana tidak selesa dibebankan dengan bila dan apa yang aku mahu menulis. Bukan kebolehan aku untuk mengadap skrin sambil menaip, cukuplah seminggu sekali berblog melainkan ada perkara menarik yang ingin dikongsi bersama. Sesiapa yang mengikuti blog ini terutama sejak awal kelahiran mesti perasan akan beberapa perubahan ketara di dalamnya. Antaranya:

Mencarut – Ini adalah pandangan peribadi aku sendiri. Blog adalah medium antara penulis dengan dunia luar. Berbeza dengan laman jaringan sosial yang mempunyai fungsi khusus, blog memberi kebebasan sepenuhnya untuk kita menulis. Oleh itu berhati-hatilah semasa menulis. Dahulu aku kerap menggunakan bahasa yang kurang sopan dan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Aku berpendapat bahawa blog adalah bebas. Namun perbuatan tersebut memalukan diri sendiri setelah ditegur oleh banyak pihak.

Ayat pasar – Penggunaan singkatan serta rojak seperti yg, x, poyo, skodeng dan sebagainya menjadi duri dalam daging bahasa kebangsaan kita. Memang dari segi sebutan tidak menjadi masalah sebaliknya di manakah kemampuan kita sebagai aset negara? Apa yang boleh kita sumbang untuk kemajuan negara pada peringkat umur yang kebanyakannya masih mentah. Jika anda seorang jurutera, doktor, atau profesional lain yang sibuk bertungkus-lumus demi industri negara sudah pasti tidak banyak masa untuk hidup dalam dunia blog. Bukan ingin mengkritik, tetapi sebagai cabaran kepada diri sendiri. Berbahasa dengan betul dan tepat sementara masih sempat.

Bahasa Inggeris – Jika dahulu aku suka menulis bergilir-gilir antara bahasa melayu dengan inggeris. Walau bagaimanapun setelah beberapa bulan berblog, aku tidak mahu wujudnya stereotaip iaitu menulis mengikut mood. Selain itu, wujud dilema kerana ada komen dari pembaca yang mahukan aku terus berbahasa melayu dan ada juga pembaca dari luar negara yang mengirimkan emel supaya aku menulis dalam inggeris. Oleh itu aku nekad membuat dua blog yang yang menggunakan bahasa yang berbeza. Masih belum dimasukkan entri terbaru namun sekadar himpunan tulisan aku yang lepas. InsyaAllah akan dikemaskini pada masa yang sesuai.

Mungkin perkara di atas kelihatan begitu kecil pada pandangan orang lain. Namun itulah antara cabaran yang terbesar kerana terpaksa melawan kebiasaan. Apapun, terima kasih kepada mereka yang masih menyokong blog yang bosan ini. Setiap komen dan kunjungan anda amat dihargai. Tidak lupa juga kepada mereka yang menggunakan bahan daripada blog ini untuk perbincangan di forum-forum. Ada yang memberi kredit, ada yang tidak namun wujud kepuasan kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Aku sedang gila menonton Gelora Di Hati Sara lakonan Rosyam Nor dan Fauzah Latiff di TV1. Mungkin aku akan menulis tentang cerita ni memandangkan siri melayu pertama yang berjaya memikat aku. Muat turun OST Gelora Di Hati Sara: Fauziah Latiff-Menjauhkan Diri dan Niskala-Masih Di Sini. Lagi catatan bosan dari ubey~

0 comments:

Post a Comment

Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y