Monday

Bangsa Yang Terpilih

0

Aku ade bace satu artikel kat Mingguan Malaysia hari ini kat ruangan Cetusan Pemikiran nukilan Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas. Beliau merupakan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Apa yang beliau sampaikan amat menarik sekali. Selamat Membaca


Petang itu adalah satu lagi petang Ahad yang indah. Sinar mentari menghangatkan bumi setelah hujan semalaman, suatu hari yang amat sesuai bagi ibu bapa dan keluarga berkumpul bersama. Demikianlah suasana di rumah saya, jadi saya mengambil keputusan membawa anak-anak ke taman berhampiran rumah. Mereka mahu berlari-lari, menunggang basikal dan bermain-main. Kami berjalan-jalan di taman itu dan kelihatan puluhan orang dengan keluarga masing-masing sudah berada di sana, mungkin dengan niat yang sama. Walaubagaimanapun anak-anak saya nampaknya tidak mempedulikan hingar-bingar orang ramai dan terus menunggang basikal mereka menyusuri laluan joging yang dibina mengelilingi kawasan permainan kanak-kanak. Selepas itu mereka mengambil keputusan
berhenti berbasikal kerana mahu bermain ‘jim rimba’, jadi saya berdiri di luar kawasan permainan itu memerhatikan mereka seronok bermain bersama-sama kanak-kanak yang lain.

Tatkala berdiri memerhatikan mereka, pandangan saya sedikit demi sedikit diganggu oleh jumlah sampah- sarap yang dibuang di segenap ceruk kawasan permainan itu. Kelihatan beg-beg plastik mengandungi sisa-sisa teh tarik bergantungan pada pokok-pokok dan gelongsoran, bekas-bekas styrofoam yang mungkin digunakan untuk mengisi umpan oleh para pengail yang sering mengunjungi tasik berhampiran, kotak-kotak piza kosong bersepah di atas tanah ditinggalkan oleh orang-orang yang datang berkelah, juga kertas-kertas surat khabar bertaburan di sana-sini di bawah buaian, di tambah lagi dengan contengan-contengan liar menghiasi ‘jim rimba’, yang juga diukir pada pohon-pohon berhampiran. Apa yang mengejutkan saya ialah tiada sesiapapun kelihatan peduli bahawa mereka dikelilingi sampah sarap. Lebih mengejutkan ialah tong-tong sampah disediakan pada jarak tidak lebih daripada lima meter satu sama lain.

Sedang saya berdiri menggeleng-gelengkan kepala dek kekecewaan, saya terpandang sekumpulan tiga wanita Melayu, semuanya bertudung kepala, bersama-sama tujuh kanak-kanak yang saya jangka anak-anak mereka melihatkan tingkah-laku mereka di buaian itu. Kelihatan kertas-kertas surat khabar bersepah di kaki mereka sedang mereka asyik bermain buaian. Wanita-wanita itu kemudian mula menyepak-nyepak kertas berkenaan ketepi, manakala anak-anak mereka mengoyak-ngoyakkannya menjadi cebisan-cebisan kecil dan seterusnya melemparkannya ke tanah sekali lagi.

Saya sudah tidak dapat menahan sabar lagi, lantas memanggil anak-anak saya dengan niat mahu pulang sahaja ke rumah. Akan tetapi saya berasa bertanggungjawab untuk membersihkan sebahagian dari sampah-sarap itu, dan lebih penting lagi saya berasa bertanggungjawab untuk mengatakan sesuatu kepada tiga wanita Melayu itu. Lalu saya berjalan ke arah mereka dan bertanya: “Apa agama anutan suadari bertiga?” Mereka bertiga melihat ke arah saya; serta-merta air muka mereka berubah, manakala raut muka bertukar masam, dan mereka menjawab: “Islam”, dengan tegas dan bangganya. Semasa mereka melihat ke arah saya, saya dapat rasakan bahawa mereka agak tergamam melihat apa yang mereka sangkakan seorang “mat saleh” bercakap dengan mereka menggunakan bahasa Melayu. Walaubagaimanapun itu tidak menghalang saya dari meneruskan niat saya, bahkan saya menjadi sedikit marah, dan bertanya: “Apa benar saudari bertiga yakin bahawa kamu menganut agama Islam?” Ketika itulah, pada telahan saya, mereka mungkin menyangka bahawa saya ini seorang pendakwah bukan Islam atau mubaligh yang cuba berdakwah kepada mereka, lantas mereka membalas: “Kenapa?”

Bertaburan

Inilah peluang saya. “Apakah saudari bertiga semua buta? Tidakkah kamu lihat sampah bertaburan di kaki kamu? Tidak bolehkah kamu mengutip dan membuangkannya ke dalam tong sampah?”

Mendengarkan itu mereka cuba mempertahankan diri, “Kenapa pula kami yang patut melakukannya?"

Ujar mereka: “Bukan kami yang membuang sampah- sampah ini kenapa kami pula yang mesti mengutipnya?”

Menyedari betapa tiada faedahnya bertegang-urat dengan mereka ini, saya mengutip sampah-sampah di kaki mereka, dan membuangkannya ke dalam tong sampah. Sebaik berpaling ke arah mereka sekali lagi, seorang daripada mereka dengan angkuhnya berkata: “Kalau dah rajin sangat nak mengutip sampah tu kenapa tak kutip daun-daun tu sekali?”

Saya segera menjawab: “Tiada gunanya untuk kamu mengaku beragama Islam dan bertudung sedangkan terlalu sedikit yang kamu ketahui tentang agama kamu”, lantas saya meninggalkan mereka dengan tenang.

Sebaik sampai ke rumah dan ketika sedang menutup pagar, saya melihat dua lelaki Melayu datang ke arah saya. Saya segera berpaling ke arah mereka, dan melihatkan itu terus sahaja mereka membatalkan niat berjumpa dengan saya. Bagaimanapun saya memanggil mereka kembali. Seorang daripada mereka denga sopan bertanya adakah saya yang bercakap dengan isteri-isteri mereka sebentar tadi? “Benar”, jawab saya. Seorang lagi hanya berdiri melihat ke arah saya. “Apa yang tuan katakan kepada mereka?” tanya lelaki pertama tadi.

Pada masa itu, datanglah ketiga-tiga wanita tadi bersama dengan anak-anak mereka dan mulalah mereka menceritakan kepada suami-suami mereka bahawa saya mempersoalkan agama anutan mereka.

“Memang itulah yang saya kata”, ujar saya, “dan saya yakin bahawa kamu semua amat jahil berkenaan agama Islam. Tidakkah kamu sedar bahawa asas segala amalan dalam agama Islam ialah kebersihan? Tidakkah kamu sedar bahawa setiap Muslim bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitarannya? Walaupun bukan kamu yang membuang sampah itu, apabila kamu melihatnya menjadi kewajipan kamu membersihkannya. Itulah Sunah Nabi Muhammad. Memandangkan kamu tetap berdegil dan enggan membersihkannya walaupun setelah kamu melihat saya melakukannya, saya yakin kesimpulan yang saya buat tentang kamu adalah benar.”

Tetap enggan mengakui kesalahan, ketiga-tiga wanita itu berkata: “Tetapi cara kamu bercakap itu yang kami tak boleh terima.” Semasa itu seorang lagi lelaki muda yang selama ini mendiamkan diri berkata: “Ini Tanah Melayu, tahu tak! Saya ketawa dan berkata: “Jangan jadi bodoh dan mudah berkecil hati. Kamu ingat para Sahabat dan Rasulullah sendiri memarahi orang-orang yang degil dengan berlemah lembut? Tingkah-laku kamu ini persis kaum jahiliah, enggan mengakui kesalahan, dan lebih teruk lagi kamu cuba mempertahankan sikap tidak peduli dan keangkuhan kamu dengan menyebut bangsa kamu seolah-olahnya agama Islam itu hak milik bangsa Melayu semata mata. Kalau begitu kamu sama sahaja dengan bangsa Yahudi, kamu ingat kamu ini Bangsa Yang Terpilih (sha‘b Allah al-mukhtar).” Kata-kata saya itu nampaknya membuatkan ketiga-tiga wanita itu bertambah marah, dan pada masa itu lelaki muda yang mula-mula bertanya tadi juga kelihatan marah, tetapi bukan kepada saya.

Dia berpaling kepada wanita-wanita tadi dan dengan keras mengarahkan mereka meminta maaf dan beredar. Dia kemudian berpaling kepada saya dan berkata: “Apa yang tuan katakan itu amat benar dan isteri saya sememangnya bersalah. Dia mengadu kepada saya bahawa seorang ‘mat saleh’ mengganggu mereka dan bertanya tentang agama anutan mereka. Tentunya saya menyangka tuan adalah seorang pendakwah asing cuba mengajak keluarga saya kepada agama lain. Saya tidak tahu bahawa tuan memarahi mereka kerana tidak mempedulikan sampah-sarap di kaki mereka. Tetapi inilah perangai orang Melayu, manja.”

Lelaki yang seorang lagi hanya diam tidak terkata.

Mendengarkan penghujung kata-kata lelaki tadi, saya membantah. “Tidak adil saudara menggolongkan bangsa Melayu dalam satu golongan. Walaupun benar sebahagian daripada mereka adalah manja, tidak benar untuk mengatakan semuanya bersifat demikian. Contohnya saudara berdua”, merujuk kepada kedua-dua lelaki itu. “Saudara menyedari bahawa menjadi tanggungjawab saudara sebagai seorang Muslim menjaga alam sekitar, sahabat saudara ini pula nampaknya menyangka agama Islam dan tanah air ini milik bangsanya sahaja. Jadi, sebenarnya bukan semua orang Melayu manja. Melayu tidak manja, ‘Melayu baru’ yang sebenarnya manja.”

Apalah gunanya menyarung pakaian yang dianggap bermaruah kalau seseorang itu tidak punya maruah diri? Apa gunanya menampal pelekat bertulis ‘kami adalah khalifah Allah’ dan menjajanya ke sana-sini kalau seseorang itu tidak mampu menjadi khalifah mentadbir diri sendiri? Kenapa berpura-pura memiliki iman sedang tingkah-laku membayangkan sebaliknya? Kenapa menyanggupi amanah agama Islam dan berlagak seolah-olah itu harta persendirian sedang pada hakikatnya apa yang ditonjolkan ialah pengkhianatan terhadap amanah dalam tindak-tanduk diri terhadap alam semesta dan sesama manusia? Kenapa berpura-pura berkata bahawa agama Islam telah memberikan kepadamu peradaban dan kehalusan budi pekerti sedangkan kamu berlagak seperti kaum biadab, menyalahi ajaran agama Islam?

0 comments:

Post a Comment

Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y