Thursday

Sejarah; satu stigma bukan paradigma

0

Apabila Ubey menulis tentang sejarah, suatu bidang yang 100% bukan kepakaran beliau


Dunia korporat memang menjadi impian dunia kanak-kanak penulis. Tidak salah berimaginasi akan helikopter, banglo lengkap dengan kereta mewah, kolam renang, serta isteri-isteri yang cantik dan sebagainya. Walaupun sebenarnya alam perniagaan memerlukan pengorbanan yang memeritkan pada penglibatan awal. Ingin menjadi hebat seperti mega-hartawan Donald Trump? Cukuplah menghayati detik jatuh bangun mendiang Eric Chia, bagaimana sadis kisah zaman muda beliau sehingga berjaya kemudiannya. Namun jika ditanya signifikasi mengapa Cina, bukan Melayu yang patut menguasai ekonomi negeri sendiri, jawapannya ada dalam buku teks sejarah.

1001 persoalan, adakah buku teks sejarah kita diyakini kesahihannya? Bolehkah diterima akal sekiranya sejarah Malaysia seperti Al-Quran yang dijanjikan oleh Allah tidak akan berubah isi kandungan hingga ke akhir zaman. Fakta seperti kematian Leftenan Adnan di Bukit Candu kononnya masih diragui kebenarannya kerana banyak versi cerita yang muncul. Selain itu wujud mereka yang mengaku kerabat Raja Kedah menuntut hak sebagai kerabat yang sah di perlembagaan turut mengundang banyak persoalan. Usah dibebankan otak dengan perihal remeh ini. Cukuplah dengan satu kenyataan. Mengapa Parameswara belayar dari Palembang kemudiannya singgah di Temasik, membunuh pemimpin negeri tersebut dan mentadbir negeri tersebut selama 5 tahun kemudiannya melarikan diri ke Melaka. Dengan mudah melantik diri sebagai raja dan bermulalah legasi kesultanan Melayu Melaka yang gah sehingga 1511.

Tanpa paksaan, sila guna enjin carian dengan menaip kata kunci ini. ‘Acheh Cannons’. Kita dibesarkan dengan kisah kekalahan Melaka pada tahun 1511 mengatakan bahawa meriam serta senapang Portugis membedil askar-askar Melaka yang hanya bersenjata keris dan tombak. Walhal pada kurun tersebut meriam Acheh adalah setanding dengan buatan Jerman. Benarkan Melaka tidak mampu memiliki meriam pada masa tersebut? Jauh di dasar Selat Melaka, penemuan acuan meriam yang berusia kurun 13-14 masih tidak cukup untuk mengubah catatan sejarah Malaysia kita. Wujud spekulasi rambang, tidak mahu membesarkan isu ini kerana malu dengan kekalahan perang walaupun menggunakan meriam.

Kita memahami prinsip kerajaan, iaitu kepentingan menjaga imej negara untuk berdiri di persada antarabangsa walaupun terpaksa merobek intipati sejarah kita sendiri. Penulis bukan pengkaji sejarah, dan tidak berminat langsung terhadap subjek sejarah sejak zaman sekolah
. Memadailah mendapat skor A bukan kerana penghayatan tetapi inilah hakikat sistem pelajaran Malaysia. Kita harus sedar, kerajaan yang berkuasa berhak untuk menyebarkan pengaruh tidak kira melalui media, pembangunan, malahan nasionalisma. Jika anda tidak menyokong kerajaan hari ini, anda seorang yang tidak patriotik dan jahil sejarah Malaysia. Kita melaungkan demokrasi padahal sistem yang diamalkan tidak ubah seperti monarki. Umur sudah lewat senja, menunggu masa takhta diberikan kepada anak tercinta selepas era penjajahan.

Stereotaip rakyat Malaysia, mereka benci akan penjajah yang menduduki tanah pusaka moyang ini. Yakinkah bahawa Malaysia hari ini akan muncul tanpa penaklukan Portugis di Melaka dahulu? Syukurlah negara kita dijajah kerana kerajaan Siam sentiasa mengidamkan Tanah Melayu pada waktu itu. Dan semasa pemerintahan Inggerislah, Siam menyerahkan negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, dan Kedah. Jika tidak, adakah Kelantan akan turut menerima nasib seumpama jiran seagama di selatan Thai? Kita mengkritik dasar ‘Pecah dan Perintah’ Inggeris yang mengikis perpaduan kaum. Namun sedarkan kita apa yang diutarakan oleh bekas ketua penjajah Hugh Clifford dan Frank Swettenham dalam Environmental Cognition And Malayan Colonial Process tulisan Victor R. Savage? Mereka mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang paling malas pernah hidup dalam muka bumi kerana mampu berehat di atas sampan tanpa berbuat apa-apa selama 24 jam. Ini adalah realiti!. Oleh itu masakan Inggeris yakin dengan kemampuan Melayu untuk memajukan ekonomi.

Selain itu juga, mungkin tidak pernah wujud dalam buku sejarah perihal Peace Corp Acts yang bermula pada 1958. Kumpulan anjuran Amerika Syarikat yang bertujuan untuk membantu negara-negara yang membangun sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, sektor awam, dan sebagainya. Oleh itu tidak hairanlah jika pada waktu tersebut kebanyakan tenaga pengajar adalah warga berkulit putih dan banyak lagi sektor profesional dimonopoli oleh mereka. Difahamkan Tunku Abdul Rahman ada membuat pertemuan dengan Presiden AS ketika itu, John F. Kennedy berhubung misi kebajikan agar dapat dilaksanakan di Malaysia pada 1961. Walaupun bertujuan baik dan masih aktif sehingga kini namun sukar untuk mendapat kepercayaan setelah apa yang Amerika Syarikat lakukan dalam Perang Dunia Ke-2 akhirnya membawa kemusnahan besar terhadap Hiroshima dan Nagasaki. Tahap kebencian melarat sehingga mereka digelar ‘ugly america’ oleh kebanyakan negara. Sama ada wujud konspirasi atau tidak, tanpa mereka Malaysia tetap mundur selama-lamanya.

Tamat sudah satu tarian tinta. Ini hanya satu penulisan yang bebas dari sebarang pengaruh politik. Memang berbaur provokasi, tapi bukan menganjak reformasi. Hanya penyebaran ideologi

0 comments:

Post a Comment

Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y