Saturday

Eric Chia, jatuh bangun seorang samurai

0


''MALAYSIA adalah tanah air saya, saya akan tinggal dan mati di sini.''

Kata-kata itu diluahkan oleh bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd. Tan Sri Eric Chia selepas Mahkamah Sesyen membebaskannya daripada tuduhan melakukan pecah amanah bernilai RM76.4 juta, 26 Jun tahun lalu.
Tiada siapa menyangka selepas hampir setahun luahan itu dilontarkan, anak kelahiran Singapura itu meninggal dunia di hotel miliknya, Hotel Park Avenue pada pukul 9 pagi akibat sakit tua.
Sememangnya berita kematian taikun terkenal itu mengejutkan banyak pihak kerana selepas daripada tarikh pembebasannya, mendiang terus menyepikan diri.
Eric Chia Eng Hock, 75, yang kali terakhir mendapat liputan akhbar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur seolah-olah mengasingkan diri daripada masyarakat dan menjadikan Hotel Park Avenue tempat beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
Mendiang ketika ditanya mengenai tuduhan melakukan pecah amanah yang dikenakan ke atasnya mengakui kesannya amat besar dan berat untuk ditanggung.
Paling menyedihkan ialah keruntuhan keluarganya apabila anak-anak mendiang mengambil keputusan berhijrah ke luar negara kerana tidak sanggup menanggung malu.
Malah pemergian ahli perniagaan yang menubuhkan United Motor Works atau UMW (M) Sdn. Bhd. (UMW), ketika berusia 23 tahun itu juga akan membawa segala keperitan yang dialaminya tatkala menghadapi tuduhan pecah amanah juga derita disisih oleh ayah kandungnya sewaktu masih kecil.
Meskipun dilahirkan di dalam dulang emas tetapi mendiang Chia tidak menikmati kasih sayang daripada bapanya yang ketika itu terkenal sebagai lelaki ketiga paling kaya di Singapura.
Bapa mendiang ketika itu memiliki UMW Singapura dan Thailand, namun kekayaannya itu tidak dalam erti kata berkongsi kasih sayang dengan Chia.
Akibat tidak dapat menahan penderitaan disisih oleh bapa sendiri sehingga nyawanya nyaris-nyaris melayang akibat tindakan ibu tirinya memberikan pau berisi jarum, Chia nekad meninggalkan ibu dan lima adiknya.
''Aku sumpah engkau, Singapura. Aku tidak akan kembali selagi kocek aku tiada RM1 juta,'' sumpah mendiang sejurus tiba di Pantai Lido, Johor, selepas berjalan kaki melintasi Selat Tebrau dengan hanya berbekalkan RM5 daripada ibu kandungnya dan satu salinan pakaian dalam satu beg plastik kecil.
Bermula dari situ, ahli perniagaan tersebut meneruskan kehidupan baru yang benar-benar menguji kesabarannya sehingga pernah seketika terpaksa mencari makanan daripada tong sampah.

Itu ranjau hidupnya ketika melewati usia remaja tetapi dengan bakat besar yang dimilikinya itu, beliau membuka kedai menjual alat ganti basikal berdasarkan pengalamannya bekerja sebagai pembantu sebuah kedai basikal selama dua tahun di Seremban.
Kegigihan itu terus membawa beliau mengembangkan UMW sehingga berjaya disenaraikan di bursa saham pada tahun 1971.
Menariknya, beliau pernah menerima pakaian perisai 'Samurai' sebagai mengiktiraf kebijaksanaannya dalam bidang perniagaan oleh syarikat pembinaan Jepun, Komatsu.
Kemudian mendiang ditawarkan untuk memulihkan Perwaja Terengganu Sdn. Bhd., tetapi menolaknya pada awalnya dengan alasan tidak pernah terbabit dalam industri berat sebelum ini.
Akhirnya, tawaran itu diterima setelah dipujuk oleh rakan baiknya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada Jun 1988, Chia dilantik sebagai Pengarah Urusan Perwaja Terengganu dan mendiang diberi tempoh enam bulan untuk melihat masalah yang menyebabkan syarikat tersebut tidak berdaya maju.
Ketika itu mendiang menerima gaji bulanan sebanyak RM72,000 dari UMW.
Ketika menjawat jawatan tersebut, mendiang pernah diugut oleh samseng yang menuduh beliau pembelot terhadap bangsanya sendiri kerana sanggup membantu sebuah syarikat bumiputera.
Namun segala cabaran itu dihadapinya bersandarkan kepada pengalaman yang lebih perit pernah dilalui dalam sejarah hidupnya.
Seperti mendapat 'sentuhan ajaib', syarikat baru, Perwaja Steel ditubuhkan dengan memiliki pelan pembangunan selama 10 tahun mencatatkan keuntungan pertama pada tahun 1991.
Sejak itu, nama mendiang terkenal di seluruh negara. Sebut sahaja nama Eric Chia, orang pasti akan mengaitkannya dengan Perwaja malah sehingga sekarang keduaduanya amat sinonim.
Itu bukan kejayaan pertama mendiang dalam usaha memulihkan syarikat dan agensi-agensi lain. Mendiang pernah terbabit dalam syarikat konglomerat, Hicom dan memainkan peranan pentingnya dalam rundingan dengan Mitsubishi ketika kereta Proton Saga mula diperkenalkan.
Lebih menarik lagi, Chia adalah antara orang terpenting berada di Jambatan Pulau Pinang ketika perasmian kereta kebanggaan negara itu bersama Dr. Mahathir.

sumber: utusan malaysia

0 comments:

Post a Comment

Pendapat penulis tidak semestinya tepat. Sebarang komen, ulasan, atau kritikan dialu-alukan. Terima Kasih daripada ub3y